GEORGETOWN: Cuti lebih 2,000 kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dibekukan sebagai persediaan menerima kedatangan kira-kira 50,000 pengunjung ke Pulau Pinang yang dijangka cuti hujung minggu ini.
Datuk Bandar MBPP, Ar Yew Tung Seang berkata, cuti kira-kira 77.58 peratus kakitangan MBPP termasuk ketua jabatan, pegawai dan staf di barisan hadapan dan sebagainya dibekukan bermula 15 hingga 19 Oktober ini bagi melicinkan operasi ketika cuti hujung minggu yang panjang berjalan.
“Bagi kakitangan yang mendapat kelulusan cuti ketika tarikh berkenaan, kita telah arahkan mereka untuk menangguhkannya terlebih dahulu bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kebersihan dan lain-lain.
“Kesemua staf di MBPP berjumlah 3,019 orang dan kita telah meminta kakitangan untuk bersiap sedia bertugas sekiranya diperlukan ketika hujung minggu,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bermula Isnin ini kerajaan membenarkan rakyat untuk merentas negeri.
Menurut Tung Seang, antara faktor yang menyebabkan MBPP bertindak membekukan cuti kakitangan adalah kerana negeri itu dijangka berdepan dengan kesesakan lalu-lintas dan peningkatan jumlah sampah-sarap ketika hujung minggu ini.
“Sepanjang tempoh cuti hujung minggu ini juga, pemantauan tempat bersasar seperti Padang Kota Lama dan lain-lain lokasi tumpuan dijalankan pada waktu pagi dan malam.
“Selain itu, MBPP bekerjasama dengan pihak polis menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diambil kepada pemilik perniagaan atau sesiapa yang melanggar prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
Tambahnya, selain pemantauan secara fizikal MBPP juga akan mengoptimumkan penggunaan teknologi yang mana lebih 1,000 kamera litar tertutup (CCTV) dan pembesar suara akan digunapakai dalam kerja-kerja pemantauan SOP.
“Kami berharap orang ramai akan terus mematuhi SOP yang ditetapkan agar kita dapat melindungi semua pihak daripada wabak Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE