Bekas pemotong elektrik didenda RM6,000 - Utusan Malaysia

Bekas pemotong elektrik didenda RM6,000

MUHAMMAD Syauqi Mohammad Kamil (kiri) didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen, Shah Alam, Selangor hari ini. - GAMBAR SPRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang bekas pemotong bekalan elektrik didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan menerima rasuah untuk tidak memotong bekalan elektrik di dua buah rumah sewa pada tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan hukuman penjara masing-masing tiga bulan sekiranya tertuduh, Muhammad Syauqi Mohammad Kamil, 27, gagal membayar denda terbabit.

Tertuduh yang ditemani ibunya sepanjang prosiding berlangsung membayar denda tersebut.

Dalam penghakimannya, Rozilah menasihatkan Muhammad Syauqi supaya berubah dan menjadikan kejadian (tangkapan) itu sebagai hikmah untuk membolehkan dia menjadi orang yang berguna pada masa akan datang.

“Saya percaya emak kamu kecewa dengan kamu, saya percaya kamu juga kecewa dengan diri kamu.

“Kesalahan kamu lakukan ini sangat serius. Walaupun jumlah yang terlibat itu kamu kata sedikit, walaupun suapan RM1 atau 50 sen itu juga merupakan satu kesalahan yang sangat serius yang jika tidak dikawal akan menjadi barah dalam hidup kita,” katanya.

Berdasarkan dua pertuduhan pilihan, Muhammad Syauqi didakwa telah diberikan rasuah berjumlah RM650 daripada dua individu melalui akaun simpanan Maybank sebagai dorongan untuk tidak memotong bekalan elektrik masing-masing di rumah yang disewa individu terbabit di Jalan Hijau Pelangi U9/55, Cahaya SPK, Seksyen U9, dekat sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan-kesalahan itu di Malaysia Banking Berhad Cawangan Setia Alam pada 8 dan 9 Januari 2020 dan melanggar peruntukan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) apabila tidak melaporkan pemberian rasuah itu kepada pihak SPRM dan pegawai polis yang paling hampir.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman denda RM100,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama.

Peguambela, Mohd. Fadly Hashim dan Zamri Idrus dalam rayuannya memohon hukuman denda paling minimum mengambil kira pengakuan bersalah dilakukan tertuduh telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

“Tertuduh benar-benar menyesal terhadap apa yang berlaku dan sejak dari tarikh tangkap sehingga kini, dia hidup dalam penyesalan,” katanya.

Bagaimanapun Pegawai Pendakwa daripada SPRM, Mohd. Aliff Shaharuzaman memohon agar hukuman yang boleh menggambarkan bahawa kesalahan rasuah merupakan satu kesalahan yang serius dan boleh dijadikan sebagai pengajaran kepada tertuduh.

“Tindakan tertuduh yang diberikan tanggungjawab sebagai pemotong bekalan elektrik gagal melaporkan suapan telah melanggar kesalahan SPRM.

“Kesalahan ini jelas menunjukkan jika ia tidak diberi mesej kepada masyarakat bahawa ia satu kesalahan serius, ia akan menjadi barah dalam masyarakat,” katanya.

Pihak pendakwaan memohon agar dua lagi pertuduhan utama yang dikenakan terhadap tertuduh dilepaskan dan dibebaskan.

Mahkamah membenarkan permohonan tersebut.

Kes tersebut pertama kali disebut adalah pada 9 Disember 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya