Bekas Guru Besar SK Merbau Sempak didakwa pecah amanah wang zakat - Utusan Malaysia

Bekas Guru Besar SK Merbau Sempak didakwa pecah amanah wang zakat

MOHAMED Nor Azmi Darno di bawa ke Kompleks Mahkamah Shah Alam, Selangor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menghadapi pertuduhan pecah amanah melibatkan wang tunai sebanyak RM75,000 yang didakwa dilakukan pada dua tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang bekas guru besar mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah wang sumbangan zakat berjumlah RM75,000 antara 17 dan 19 Jun, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohamed Nor Azmi Darno, 54, yang bertugas di Sekolah Kebangaaan (SK) Merbau Sempak membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamed Nor Azmi didakwa telah melakukan pecah amanah iaitu menyalahgunakan wang sumbangan zakat berjumlah RM75,000 daripada Malaysia Building Society Berhad untuk murid asnaf SK Merbau Sempak bagi kegunaan sendiri dengan tidak mengagihkannya pada program Pemberian Sumbangan Hari Raya 2019.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Bank Islam Cawangan Saujana Utama pada 17 dan 19 Jun 2019.

Mohamed Nor Azmi yang bertugas di Bahagian Psikologi dan Kaunseling Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sejak 1 Julai lalu itu didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noryusriza Zulkifli mencadangkan jaminan RM80,000 bagi kesemua pertuduhan selain syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan serta tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Peguambela, Norasikin Mohamed Yusoff bagaimanapun memohon jaminan RM15,000 memandangkan tertuduh yang tinggal di Bandar Country Homes, Rawang mempunyai penyakit darah tinggi serta menanggung seorang isteri dan enam orang anak.

“Tertuduh mempunyai dua orang anak yang masih belajar manakala empat orang lagi sudah bekerja.

“Dia juga mempunyai komitmen bulanan yang tinggi untuk membayar ansuran pinjaman rumah, kereta dan pendidikan anak-anak,” katanya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM Cawangan Klang pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa serta tidak dibenarkan mengganggu saksi daripada SK Merbau Sempak sehingga perbicaraan selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 22 November hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya