Bayi hidup bersama saluran tiub - Utusan Malaysia

Bayi hidup bersama saluran tiub

MUHAMMAD Nuh Zaim Nasarudin perlu hidup bersama saluran tiub yang dipasang bermula di kepala bersambung hingga ke pundi kencing pada setiap masa. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Selepas dilahirkan kira-kira setahun lalu, Muhammad Nuh Zaim Nasarudin perlu hidup bersama saluran tiub yang dipasang bermula di kepala bersambung hingga ke pundi kencing pada setiap masa.

Bayi itu mengalami masalah saraf tunjang sejak dilahirkan, dengan bahagian tengah belakang punggungnya berlubang, memaksa pakar perubatan mencantumkannya bagi mengelak risiko komplikasi lain.

Ibunya, Wan Hamira Wan Mahmood, 30, memberitahu Utusan Malaysia, selain memerlukan pengawasan rapi, tiub khas yang dipasang pada anak keduanya itu perlu dipantau dengan kerap supaya air kencingnya tidak berkelodak.

“Setiap empat jam, saya perlu menekan perutnya sambil menyedut air kencing menggunakan tiub. Langkah ini wajib dilakukan bagi memastikan buah pinggang anak saya berfungsi dengan baik tanpa sebarang jangkitan.

“Saluran tiub pada badannya itu juga bertujuan mengelak lebihan air berkumpul di kepala,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Tok Panjang, Kedai Buluh di sini baru-baru ini.

Menurut Wan Hamira, saluran tiub itu perlu ditukar seiring dengan peningkatan umur anaknya sebagai langkah keselamatan dan jika aspek itu diabaikan, kepala Muhammad Nuh Zaim dikhuatiri boleh membesar.

“Kos rawatan menukar tiub agak mahal namun apa boleh buat, saya dan suami Nasarudin Ahmad, 35, perlu melakukannya atas saranan doktor demi masa depan anak. Kami berserah kepada Allah.

“Anak saya juga perlu bertemu doktor dan menjalani rawatan susulan dalam tempoh enam bulan sekali untuk melihat perkembangannya, selain perlu mengikuti fisioterapi setiap dua minggu sekali,” katanya.

Dari segi makan dan minum, kata Wan Hamira, anaknya itu tidak mempunyai sebarang kesan alahan.

Walau bagaimanapun, Muhammad Nuh Zaim perlu makan ubat sawan dua kali sehari. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN