LUMUT: Majlis Perbandaran Manjung (MPM) membekalkan plastik sampah secara percuma kepada pengunjung pantai peranginan Teluk Batik sebagai usaha mengajak mereka menguruskan sampah masing-masing secara lestari.
Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, plastik sampah dibekalkan di kaunter parkir kenderaan sejurus selepas mereka memasuki kawasan parkir tersebut.
Menurutnya, pengunjung diminta membawa pulang sampah masing-masing setelah selesai beriadah atau mengunjungi kawasan pelancongan itu.
“Bahagian Pelancongan MPM melalui Unit Pengurusan Pelancongan Teluk Batik memberi jaminan tidak pernah dan tidak berlaku sebarang urusan atau transaksi penjualan plastik sampah kepada pengunjung.
“Sebaliknya, satu kereta diberi satu plastik sampah tanpa bayaran. Ini selaras dengan kempen ‘Bawa Pulang Sampah Anda’ yang dilancarkan pada 5 November tahun lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Syamsul Hazeman, kempen ‘Bawa Pulang Sampah Anda’ merupakan salah satu program yang bertujuan meningkatkan kesedaran memelihara kebersihan kawasan awam terutama di lokasi-lokasi pelancongan.
Jelasnya, konsep kempen itu ialah memelihara kebersihan pantai dengan membawa pulang sampah seperti plastik, tin, botol dan lain-lain yang telah digunakan agar dapat membantu mengurangkan sampah di pantai tersebut.
Tambahnya, menerusi pemerhatian dan reaksi pengunjung didapati amat menggalakkan dan memberi kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan menjaga kebersihan di kawasan pelancongan.
Katanya, kempen itu juga berjaya mengurangkan jumlah tong-tong sampah di kawasan pantai yang sebelum ini kerap digeledah dan diselongkar haiwan-haiwan liar terutama monyet yang akhirnya membawa imej negatif dan mendatangkan masalah kebersihan.
“Bagi memastikan kejayaan kempen ini, Unit Pengurusan Pelancongan Teluk Batik MPM menugaskan empat orang Penguat Kuasa Pelancongan yang lengkap berpakaian seragam untuk meronda, memantau, menasihati, menegur dan menguatkuasakan undang-undang kecil Taman Pihak Berkuasa Tempatan, selain dibantu enam petugas Unit Pengurusan Pelancongan Teluk Batik pada setiap hari tanpa gagal.
“Selain itu, melalui inisiatif terbaharu MPM, tujuh batang tiang lengkap dengan sistem pembesar suara luar dipasang di sepanjang pantai Teluk Batik dan turut digunakan untuk menyiarkan saranan mengenai arahan untuk membawa pulang sampah masing-masing setelah selesai beriadah,” tambahnya.
Menurut Syamsul Hazeman, pihak MPM kini melakukan kajian kesesuaian dan pemerhatian serta persediaan untuk melebarkan inisiatif kempen ‘Bawa Pulang Sampah Anda’ itu di kawasan-kawasan pelancongan yang lain kerana sehingga ke hari ini, kempen itu dilihat membawa impak positif dalam melestarikan produk-produk pelancongan di daerah Manjung.










