Bapa mengaku salah lakukan amang seksual terhadap anak kandung - Utusan Malaysia

Bapa mengaku salah lakukan amang seksual terhadap anak kandung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang bapa mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua tuduhan melakukan amang seksual terhadap anak kandungnya pada Disember tahun lalu dan Jun lepas.

Pengakuan itu dibuat selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan melalui sidang video aplikasi WhatsApp kerana tertuduh tidak dapat hadir ke mahkamah berikutan menjalani kuarantin di lokap.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh berusia 40 tahun yang merupakan seorang penjaja didakwa melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya yang berusia 16 tahun ketika berada di rumah mereka di Gurun, pukul 3 pagi, 25 Disember tahun lalu.

Untuk pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap remaja berusia 16 tahun itu, juga di rumah mereka pada 25 Jun lalu kira-kira pukul 5.30 petang.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Siasatan dan Perundangan, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Asisten Superintenden Mohd. Fakruzi Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 14(a) AKSTKK 2017 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan manakala Seksyen 16(1) AKSTKK 2017 pula hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan sebat tidak kurang lima sebatan.

Hakim menetapkan tarikh sebutan semula pada 24 November depan sementara menunggu laporan perubatan dan fakta hukum.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya