Bank Negara perlu siasat Kertas Pandora  - Utusan Malaysia

Bank Negara perlu siasat Kertas Pandora 

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan melalui Kementerian Kewangan perlu mengarahkan Bank Negara membuka siasatan penuh terhadap Kertas Pandora yang mendedahkan tentang fail kewangan sulit di luar pesisir. 

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Bank Negara perlu berbuat demikian bagi menunjukkan kerajaan bukan sahaja tidak mempunyai sebarang perkara yang perlu diseumbunyikan, malah tiada percubaan untuk menutup kes berkenaan melibatkan rakyat negara ini.

“Malangnya, Yang Dipertua Dewan Rakyat terus menolak usaha Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membahaskan isu penting ini di Parlimen. 

“Bagi membuktikan tiada yang perlu disembunyikan, siasatan yang dijalankan perlu menghukum mereka yang terlibat dalam skandal aliran wang haram serta mengesyorkan langkah-langkah ketat bagi mencegah wang haram keluar dari Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

Pada 7 Oktober lalu, Anwar telah mengemukakan rayuan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk membahaskan usul mengenai Kertas Pandora.

Presiden PKR itu berharap supaya Azhar Azizan meneliti dan mempertimbang usul tersebut dibincangkan di Parlimen setelah speaker dewan menolak isu tersebut dibawa ke dalam aturan mesyuarat sehari sebelum itu. 

Baru-baru ini, heboh berkenaan laporan pendedahan oleh Kertas Pandora yang merupakan pendedahan fail kewangan sulit kepada Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) seperti yang dilaporkan media tempatan.

Pendedahan itu melibatkan lebih 11.9 juta dokumen rekod lain daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan menguruskan syarikat Shell dan pemegang amanah di tempat perlindungan cukai di seluruh dunia.

Lebih banyak dokumen berkaitan dengan urus niaga luar negara orang kaya Malaysia termasuk Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Zainal Abidin; Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terdapat di dalam kebocoran daripada penyedia perkhidmatan berkenaan. 

Mengulas lanjut, kata Guan Eng, negara sebelum ini mempunyai Kertas Panama yang mendedahkan lebih 2,000 warganegara dan syarikat tempatan mempunyai akaun rahsia di Panama, Amerika Tengah yang didakwa digunakan untuk menyembunyikan keuntungan daripada sumber tidak sah. 

“Tidak seperti negara-negara lain, tiada sesiapa yang didakwa untuk pengubahan wang haram dan mungkin disebabkan kerana mereka adalah sebahagian daripada kerajaan memerintah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN