PETALING JAYA: Pembentangan Bajet 2022 buat julung kalinya berjalan lancar tanpa kekecohan blok pembangkang seperti mana sering berlaku setiap kali ketika belanjawan.
Walaupun Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz terpaksa berhenti rehat beberapa kali untuk minum air, namun ia tidak mencetuskan gangguan ahli Parlimen lain.
Malah pada setiap kali pembentangan yang bersifat rakyat seperti bantuan kewangan penjawat awam dan kenaikan elaun menerima tepukan semua ahli Parlimen.
Terdahulu, Bajet 2022 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ dibentangkan Tengku Zafrul di Dewan Rakyat hari ini.
Tengku Zafrul yang segak memakai baju Melayu lengkap bersampin membentangkan belanjawan buat kali kedua sejak dilantik menjadi Menteri Kewangan.
Selain itu, belanjawan tersebut merupakan kali pertama untuk kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sejak dilantik mengetuai kerajaan pada Ogos lalu.










