PETALING JAYA: Sebuah jawatankuasa pemantauan Bajet 2022 diwujudkan bagi memastikan semua inisiatif dirancang kerajaan berjaya mencapai objektif yang disasarkan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu akan diselaras oleh Kementerian Kewangan.
“Semua inisiatif yang dibentangkan pada hari ini tidak akan bermakna sekiranya pelaksanaannya tidak sampai kepada ahli Keluarga Malaysia dengan tuntas dan berkesan.
“Sehubungan itu, Perdana Menteri akan mempengerusikan sebuah jawatankuasa pemantauan yang diselaras oleh Kementerian Kewangan bagi memastikan semua inisiatif Bajet 2022 berjaya mencapai objektif yang disasarkan,” katanya dalam pembentangan Bajet 2022 hari ini.










