KUALA LUMPUR: Dalam aspek pembangunan kaum dan perpaduan, pelbagai aspek disentuh termasuklah peruntukan sebanyak RM200 juta disediakan khusus untuk kaum Cina.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan itu adalah untuk melaksanakan program baik pulih rumah dan kemajuan kampung baru, akses pembiayaan bagi penduduk kampung baru dan Skim Pembiayaan Usahawan PKS.
Bagi kaum India pula, sebanyak RM145 juta disediakan untuk melaksanakan program memperkasa sosioekonomi komuniti India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India dan dana pembiayaan di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India oleh TEKUN.
Dalam menggalakkan anak-anak Sabah dan Sarawak mendalami ilmu berkaitan budaya dan warisan, sebanyak RM10 juta disediakan untuk tujuan itu
Bagi komuniti Orang Asli pula, sebanyak RM274 juta diperuntukkan, antaranya bagi melaksanakan Program Peningkatan Taraf Hidup Orang Asli seperti pemberian subsidi dan bantuan persekolahan serta bantuan kebajikan untuk manfaat hampir 200,000 Orang Asli.
“Untuk tahun hadapan, kerajaan akan menaikkan kadar wang saku murid sekolah menengah kepada RM4 ringgit,” jelasnya.
Bagi mendukung agenda perpaduan dan budaya sukarela di peringkat komuniti, kerajaan menyediakan geran RM6,000 untuk setiap Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
Katanya, lebih 8,000 KRT akan menerima manfaat daripada geran ini dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan memperuntukkan RM50 juta bagi kerja-kerja pembaikan, penyelenggaraan dan pembangunan kecil rumah ibadat di kawasan pihak berkuasa tempatan.
Peruntukan itu turut merangkumi pelaksanaan aktiviti-aktiviti komuniti dengan kerjasama pengurusan rumah ibadat dan penduduk setempat.










