PETALING JAYA: Syarikat yang menjana pendapatan tinggi akan dikenakan cukai khas 24 peratus untuk membiayai golongan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif cukai tersebut akan dikenakan ke atas syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama.
Katanya, pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33 peratus bagi tahun taksiran 2022.
“Berikutan krisis pandemik Covid-19, keperluan meningkat untuk membiayai golongan rakyat yang terjejas demi memastikan sistem kesihatan awam lebih berdaya tahan dalam menghadapi sebarang ancaman pada masa hadapan.
“Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan cukai khas secara one-off kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi. Dengan nama Cukai Makmur, syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24 peratus dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33 peratus bagi tahun taksiran 2022,” katanya dalam pembentangan Rang Undang-undang perbekalan 2022 di sini hari ini.