Lima maut feri penumpang terbakar di Sulawesi - Utusan Malaysia

Lima maut feri penumpang terbakar di Sulawesi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Suasana panik menyelubungi lautan berhampiran Pulau Talise, Sulawesi apabila sebuah feri penumpang, KM Barcelona 5, terbakar secara tiba-tiba dalam perjalanan dari daerah Talaud ke ibu negeri Manado.

Kebakaran itu meragut lima nyawa, manakala lebih 280 penumpang diselamatkan dalam operasi dramatik yang melibatkan tentera laut, helikopter dan nelayan tempatan.

Menurut Naib Laksamana Denih Hendrata, Komander Armada Laut Indonesia, operasi menyelamat dijalankan segera selepas api dikesan marak dari ruang enjin feri sebelum merebak dengan pantas ke seluruh kapal.

“Ramai penumpang nekad terjun ke laut untuk menyelamatkan diri.

“Keadaan laut yang bergelora menyukarkan usaha menyelamat, tetapi kami berjaya membawa majoriti mereka ke darat dengan selamat,” katanya.

Tiga kapal tentera laut, beberapa helikopter penyelamat, dan bot bantuan dikerah ke lokasi kejadian.

Bantuan turut datang daripada nelayan tempatan, yang menemui mangsa terapung dengan jaket keselamatan di sekitar pulau-pulau berdekatan.

Kebakaran yang berlaku pada Jumaat lalu itu mencetuskan semula kebimbangan lama tentang tahap keselamatan pengangkutan feri di Indonesia, sebuah negara kepulauan yang sangat bergantung kepada laluan laut untuk pergerakan harian penduduknya.

Pihak Badan Pengurusan Bencana Indonesia memaklumkan bahawa siasatan dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran, termasuk kemungkinan wujudnya kecuaian teknikal atau kegagalan pengendalian di pihak kru kapal.

“Kita perlu pastikan tragedi seperti ini tidak berulang. Keselamatan penumpang mesti diutamakan,” kata seorang jurucakap.

Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan bagi mengesan sebarang mangsa yang mungkin masih hilang atau mengalami kecederaan parah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN