LENGGONG: Belanjawan Perak 2022 yang bakal dibentangkan pada Disember ini akan melengkapkan peruntukan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri dalam Bajet 2022 yang diumumkan semalam.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, intipati belanjawan telah dirangka dan dibincangkan bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri namun sebarang keputusan masih belum dimuktamadkan.
Ini kerana beliau berkata, kerajaan negeri menantikan pengumuman bajet Kerajaan Persekutuan bagi mengelakkan pertindihan.
“Di peringkat negeri, kita telah ada rangka dan bincangkan isi bajet itu dalam mesyuarat Exco. Namun, ia belum dimuktamadkan lagi sebab kita mahu lihat dahulu bajet Persekutuan. Sebabnya, kita tidak mahu berlaku pertindihan selain bajet itu nanti akan jadi pelengkap kepada apa yang diumumkan Kerajaan Persekutuan.
“Maksudnya, apa yang mungkin kurang (peruntukan) yang Kerajaan Persekutuan beri maka kita tampung pula di peringkat negeri,” katanya ketika merasmikan Program Khidmat Bakti Masyarakat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak di Dewan Merdeka Lenggong di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir dan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Menerusi Bajet 2022 yang diumumkan semalam, peruntukan berjumlah RM20 juta disediakan kepada setiap negeri dengan jumlah keseluruhan RM260 juta.
Peruntukan itu bagi memfokuskan kepada projek membabitkan jaminan makanan, pelancongan dan pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar.
Mengulas lanjut Saarani berkata, bajet yang diumumkan semalam setelah mengambil kira pandangan dan permintaan semua pihak termasuk pemimpin kerajaan dan pembangkang.
Beliau berkata, bajet keseluruhan berjumlah RM332.1 bilion itu disifatkan cukup besar untuk diagihkan kepada semua sektor.
“Tujuannya adalah untuk membangunkan kembali ekonomi sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan dan pada masa sama memberi wang tunai kepada rakyat untuk membolehkan mereka berbelanja.
“Strateginya pada saya betul tetapi mungkin tidak cukup di sana sini, itu perkara biasa,” katanya.