Wanita hilang payudara kiri akibat tersalah diagnosis kanser

Wanita hilang payudara kiri akibat tersalah diagnosis kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Kesilapan dalam proses ujian makmal mengakibatkan seorang wanita di Sejong, Korea Selatan, menjalani pembedahan membuang payudara kiri, selepas tersalah diagnos menghidap kanser berdasarkan sampel tisu milik individu lain.

Menurut laporan media tempatan hari ini, wanita berusia 32 tahun itu menerima diagnosis daripada sebuah institut perubatan di Sejong pada September tahun lalu.

Walaupun ujian susulan di pusat kanser di Seoul tidak menemukan sebarang sel kanser, dia tetap menjalani pembedahan tersebut sebagai langkah berjaga-jaga, lapor The Korean Herald.

Namun, hasil ujian ke atas tisu yang dibuang menunjukkan tiada sel kanser ditemukan.

Siasatan lanjut mendedahkan spesimen yang diuji pada awal sebenarnya milik pesakit lain.

Kesilapan tersebut dilaporkan berpunca daripada makmal klinikal GC Labs yang ditugaskan oleh hospital terbabit.

Mangsa menyatakan pembedahan yang tidak sepatutnya itu memberi kesan besar kepada kehidupan, termasuk rancangan untuk hamil, kehilangan keyakinan diri dan kemampuan menyusukan anak pada masa depan.

Pihak hospital di Sejong enggan mengambil tanggungjawab atas insiden tersebut, manakala makmal berkenaan menyatakan kesilapan berlaki akibat kakitangannya tersilap melabel sampel ujian.

Wanita terbabit kini merancang untuk menuntut pampasan atas kerosakan yang dialaminya akibat pembedahan itu.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Korea Selatan menyifatkan isu itu sebagai serius dan sedang meneliti keperluan menyiasat institusi kesihatan terlibat.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN