GEORGETOWN: Orang ramai di sekitar Jalan Gurney, di sini gempar apabila seekor babi hutan dewasa menceroboh masuk ke kawasan berkenaan hari ini.
Dalam kejadian pukul 9.05 pagi tadi, video haiwan liar itu yang berada di laluan pejalan kaki serta di jalan raya di sekitar Jalan Gurney turut dirakam orang ramai sebelum tular di dalam media sosial.
Babi hutan itu terlebih dahulu kelihatan di pasar awam Pulau Tikus sebelum menuju ke Jalan Gurney.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Timur Laut, Kapten (PA) Muhammad Aizat Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian berkenaan sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Seramai lima anggota ke lokasi dan cuba menangkap haiwan tersebut namun gagal kerana agak agresif dan terus berlari ke kawasan jalan raya.
“Babi hutan ini kemudian lari ke kawasan semak di belakang Tapak Penjaja Makanan Gurney dan anggota operasi kami menghubungi Jabatan Perhilitan untuk bantuan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, Jabatan Perhilitan memutuskan menembak mati babi hutan itu kerana bimbang akan mengganggu dan membahayakan orang awam.
“Operasi itu tamat pukul 9.40 pagi selepas babi hutan ini berjaya ditembak.
“Tiada kecederaan petugas dan orang awam serta kerosakan harta benda dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya.