PETALING JAYA: Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) menggesa kerajaan menaikkan had pelepasan cukai gabungan bagi premium insurans perubatan dan pendidikan daripada RM4,000 kepada RM6,000 dalam Belanjawan 2026.
Langkah itu dicadangkan bagi mengurangkan beban kewangan isi rumah susulan peningkatan mendadak kos rawatan perubatan di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif LIAM, Mark O’Dell berkata, jumlah pelepasan cukai semasa sebanyak RM4,000 tidak lagi mencukupi untuk kebanyakan pembayar cukai.
Menurut beliau, sebagai contoh, kos premium insurans perubatan untuk sebuah keluarga purata yang terdiri daripada dua dewasa dan tiga anak boleh mencecah lebih RM3,000 setahun.
“Keadaan ini menyebabkan baki yang sangat sedikit atau tiada langsung bagi menampung pelepasan cukai untuk polisi insurans pendidikan anak-anak.
“Desakan menaikkan had pelepasan cukai ini juga didorong oleh kadar inflasi kos perubatan yang semakin membimbangkan.
“Menurut Laporan Kadar Trend Perubatan Global oleh AON, inflasi kos perubatan di Malaysia melonjak kepada 12.6 peratus pada 2023, jauh melebihi purata global sebanyak 9.2 peratus.
“Malah, laporan itu turut mengunjurkan inflasi kos perubatan di negara ini akan terus meningkat sehingga 15 peratus pada 2025,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, dengan menaikkan had pelepasan cukai kepada RM6,000, ia diyakini dapat menggalakkan pembayar cukai melabur dalam perancangan penjagaan kesihatan jangka panjang.
“Industri insurans hayat memainkan peranan penting dalam membantu rakyat menguruskan kos penjagaan kesihatan. Pada 2024 sahaja, sektor ini membayar sebanyak RM8.9 bilion bagi tuntutan insurans perubatan,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, LIAM turut mencadangkan pemansuhan cukai perkhidmatan lapan peratus ke atas skim insurans berkelompok untuk pekerja.
“Langkah ini bertujuan menangani jurang perlindungan insurans yang ketara dalam kalangan pekerja di Malaysia.
“Statistik menunjukkan kurang daripada separuh pekerja di negara ini dilindungi di bawah skim insurans berkelompok.
“Jurang perlindungan itu amat membimbangkan, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah termasuk B40 yang mungkin tidak mampu membeli insurans peribadi.
“Pemansuhan cukai ini dijangka menggalakkan lebih ramai majikan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menyediakan manfaat insurans kepada pekerja mereka,” katanya.
Tambah beliau, langkah itu juga mampu mengurangkan tekanan terhadap sistem penjagaan kesihatan awam kerana pekerja yang diinsuranskan lebih cenderung mendapatkan rawatan di fasiliti swasta. – UTUSAN










