PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menganggap Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah membuat kesimpulan yang tidak tepat dan tidak adil berhubung dokumentasi pemain warisan Harimau Malaya.
Menurut FAM, segala dokumentasi dan penyerahan berkaitan kelayakan pemain telah disediakan, disahkan, dan diuruskan sepenuhnya oleh pihaknya mengikut prosedur yang ditetapkan dan pemain juga bertindak dengan penuh niat baik
“FAM memandang serius beberapa kesimpulan, khususnya dakwaan bahawa para pemain ‘memperoleh dokumen yang dipalsukan’ atau dengan sengaja berusaha untuk mengelakkan peraturan kelayakan.
“FAM menegaskan bahawa tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan ini telah dikemukakan oleh FIFA. Segala dokumentasi dan penyerahan berkaitan kelayakan pemain telah disediakan, disahkan, dan diuruskan sepenuhnya oleh FAM mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Pada setiap masa, para pemain bertindak dengan penuh niat baik, bergantung sepenuhnya kepada proses pengesahan dan pendaftaran yang dijalankan oleh FAM. FAM berpendapat bahawa penggambaran ini adalah tidak tepat serta tidak adil, dan perkara ini akan dibangkitkan secara menyeluruh melalui proses rayuan rasmi.
“FAM kekal komited untuk mempertahankan kepentingan bola sepak negara, melindungi hak para pemain, serta memastikan proses ini berjalan dengan telus dan mengikut peraturan. FAM akan menggunakan segala saluran undang-undang yang ada untuk memperjuangkan kes ini,” kata FAM dalam satu kenyataan, semalam.
Terdahulu, FAM mengesahkan pihak kami telah menerima dokumen penghakiman penuh daripada FIFA berhubung keputusan tatatertib berkaitan isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain kebangsaan.
Dengan penerimaan dokumen itu, FAM akan mengemukakan rayuan secara rasmi melalui saluran undang-undang yang ditetapkan dengan semua dokumen serta bukti sokongan berkaitan isu ini telah lengkap sepenuhnya dan sedia untuk dikemukakan kepada FIFA dengan kadar segera melalui saluran rasmi.
Dalam masa yang sama, FAM menegaskan bahawa kes berkenaan melibatkan dan mengandungi maklumat rasmi berhubung prosedur kerajaan Malaysia bagi pengeluaran dan pengesahan pasport.
“Selaras dengan peruntukan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Pasport 1966, sebarang pendedahan berkaitan bahan atau proses tersebut tanpa kebenaran adalah dilarang sama sekali.
“Justeru, FAM terikat secara undang-undang untuk mengekalkan kerahsiaan terhadap elemen-elemen tersebut. Oleh itu, FAM hanya akan berkongsi maklumat berkenaan dengan pihak FIFA bagi tujuan kes ini sahaja,” kata FAM – UTUSAN










