ASEAN: Malaysia sedia jalin kerjasama dengan Korea Selatan, China

ASEAN: Malaysia sedia jalin kerjasama dengan Korea Selatan, China

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) ketika berucap mengetuai delegasi Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN dengan China dan Korea Selatan hari ini. – IHSAN WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia menzahirkan harapan bersedia menjalinkan kerjasama erat dengan Korea Selatan dan China dalam pelbagai isu termasuk bidang teknologi digital terbaharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu dapat direalisasikan menerusi ASEAN yang sekali gus memacu pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19.

Berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan Ke-22 secara maya, blok serantau itu perlu memperkukuhkan kerjasama dalam transformasi digital yang semakin berkembang.

“Korea Selatan dianggap peneraju dunia dalam teknologi ini yang mampu memacu produktiviti dan ini baik untuk melonjakkan iktisad antara ASEAN dan negara tersebut,” kata beliau.

Pada masa sama, kepakaran negara Asia Timur itu boleh dimanfaatkan dalam menangani ancaman jenayah siber yang dibimbangi boleh menjejaskan kerancakan e-dagang sejagat.

Justeru, beliau mengambil peluang persidangan itu bagi memaklumkan agensi Cybersecurity Malaysia bakal menganjurkan inisiatif pembelajaran sepanjang hayat peringkat ASEAN.

Langkah itu bagi melahirkan tenaga profesional keselamatan digital yang mampu membantu ancaman maya serantau dan Malaysia juga berharap Korea Selatan dapat menyokongnya.

Beliau turut memuji ucapan Presiden Moon Jae-in pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu baru-baru ini yang mempromosikan diplomasi kebudayaan kepada warga dunia.

Sementara itu, dalam Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-24 diadakan berasingan, Ismail Sabri turut menyentuh isu sama agar negara tersebut bekerjasama dalam bidang berkenaan.

“Wabak Covid-19 telah berjaya merangsang kemajuan ekonomi digital dan bagi membina masyarakat inklusif dunia siber, China kini wajar bergandingan dengan ASEAN,” tambah beliau.

Apatah lagi Forum Ekonomi Dunia ujarnya, mengakui potensi besar ASEAN sebagai pasaran internet paling pantas berkembang dengan nilai mencecah AS$300 bilion menjelang 2025.

Malaysia juga katanya, turut tidak ketinggalan merebut peluang terbaik itu menerusi program MyDigital dan Pelan Ekonomi Digital Nasional 2021-2030 bagi menjayakan misi tersebut.

Pada masa sama, beliau menghargai usaha Perdana Menteri China, Li Keqiang yang terus mengukuhkan hubungan erat dengan rantau Asia Tenggara menerusi pelbagai skim inisiatif.

Ini termasuk kerjasama bidang kesihatan awam melalui sumbangan vaksin Covid-19 selain pemindahan teknologi pembuatan bagi membantu ASEAN mengekang penularan wabak.

Menyentuh isu Laut China Selatan, Ismail Sabri mengulangi pendirian Malaysia agar krisis panas di perairan antarabangsa itu dapat dirungkai secara aman dan bersifat lebih konstruktif.

“Kemelut tuntutan di laut ini sewajarnya ditangani melalui perundangan antarabangsa dan Malaysia terus melihat ke hadapan agar penyelesaian dirumuskan secara efektif,” tegas beliau.

Usaha itu katanya boleh dicapai dengan semua pihak mematuhi Kod Tingkah Laku Laut China Selatan yang dirangka bersama dan tidak mencetuskan provokasi kestabilan di perairan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.