AS sumbang lagi RM3.3 juta kepada PBSMM urus isu Covid-19

AS sumbang lagi RM3.3 juta kepada PBSMM urus isu Covid-19

KEDUTAAN AS di Kuala Lumpur banyak membantu penyaluran dana USAID kepada pelbagai organisasi di Malaysia. – FOTO MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) hari ini menyumbang AS$800,000 (kira-kira RM3.3 juta) bantuan isu Covid-19 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM).

Sumbangan ihsan itu susulan pertemuan Duta Besar AS, Brian McFeeters dengan Pengerusi Kebangsaan PBSMM, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim baru-baru ini.

“Bantuan ini akan menyokong usaha kerajaan Malaysia dalam pemberian vaksin kepada komuniti rentan dan juga kemudahan kuarantin selamat,” kata kenyataan Kedutaan AS hari ini.

PBSMM ujarnya, akan melaksanakan misi bantuan tersebut dalam usaha memastikan proses pemulihan semula ekonomi Malaysia daripada kesan wabak Covid-19 lebih setahun lepas.

Dana berkenaan diperuntukkan melalui Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID) di bawah pemantauan Kongres AS dan turut melibatkan bantuan untuk lebih 100 negara miskin.

Setakat ini jelas kedutaan tersebut, AS sudah pun menyalurkan lebih AS$2 juta (kira-kira RM8.3 juta) kepada Malaysia sejak pandemik global berkenaan bermula pada awal tahun lalu termasuk sumbangan sejumlah satu juta dos vaksin keluaran firma Pfizer BioNTech serta pelbagai bekalan perubatan, alat ujian Covid-19, ambulans dan sebagainya.

Komuniti Dewan Perniagaan AS di Malaysia turut menghulurkan bantuan yang bernilai lebih RM7 juta menerusi skim prihatin, MyAmchamCares sejak tahun lepas sehingga sekarang.

“USAID selama lebih sedekad lalu di Malaysia, sudah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi membiayai penyelidikan kritikal pencegahan penyakit berjangkit,” katanya.

Justeru, AS komited dengan Malaysia untuk segera mengakhiri pandemik Covid-19 selain mengurangkan impak ekonomi dan sosial serta membina semula dunia yang lebih selamat.

Bahkan USAID sejak ditubuhkan pada 1961 dengan bajet tahunan hampir AS$30 bilion (kira-kira RM124 bilion) aktif dalam misi kemanusiaan seluruh dunia khasnya negara bergolak.

Dalam pada itu, Tunku Puteri Intan Safinaz merakamkan terima kasih kepada McFeeters dan menegaskan bahawa dana USAID tersebut penting membantu usaha keras PBSMM.

“Covid-19 tidak membezakan antara bangsa, agama atau kewarganegaraan, namun kita boleh bekerjasama melindungi masyarakat terutama golongan yang rentan,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.