Amanah Ikhtiar Malaysia turunkan caj pengurusan i-Wibawa, i-Sejahtera, i-Bestari, i-Penyayang - Utusan Malaysia

Amanah Ikhtiar Malaysia turunkan caj pengurusan i-Wibawa, i-Sejahtera, i-Bestari, i-Penyayang

NOH OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menurunkan kadar caj pengurusan sebanyak dua peratus yang membabitkan empat Skim Pembiayaan Ikhtiar iaitu i-Wibawa, i-Sejahtera, i-Bestari dan i-Penyayang yang berkuat kuasa selama dua tahun iaitu bermula 2022 hingga 2023.

Kenyataan AIM memaklumkan, pengumuman penurunan caj yang dahulunya sebanyak 10 peratus kepada 8 peratus itu dibuat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar pada Program Karnival Usahawan Dan Koperasi di Padang Astaka, Tanjung Karang.

Menurut kenyataan itu, penurunan caj pengurusan berkenaan akan membabitkan peruntukan pembiayaan sebanyak RM970.39 juta dan memberi manfaat kepada kira-kira 380,000 Sahabat AIM seluruh negara dengan keempat-empat skim pinjaman ini mempunyai had pinjaman sehingga RM20,000.

“Selain itu, Noh mengumumkan pemberian rebat atau diskaun secara pro-rata kepada semua Sahabat AIM yang melunaskan pinjaman lebih awal.

“Rebat pro-rata ini diberikan sehingga 50 peratus kadar caj pengurusan. Ini bermakna, lebih awal Sahabat AIM melunaskan pinjaman, maka lebih tinggi diskaun yang akan diberikan,” kata kenyataan itu hari ini.

Jelas kenyataan sama, Noh juga mengumumkan bahawa AIM membuka tawaran pinjaman kepada mereka dalam kategori pertengahan (B50) dengan pendapatan isi rumah sebanyak RM5,880 dan ke bawah di dasar kebersamaan sejajar usaha memulihkan kembali ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Ketiga-tiga langkah yang dibuat oleh AIM ini merupakan sebahagian daripada keprihatinan pihak pengurusan AIM dalam menyambut serta menyokong konsep Keluarga Malaysia yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Ia diharapkan dapat membantu menjana ekonomi Sahabat AIM dan peniaga kecil seterusnya dapat memulihkan negara daripada masalah dan kesan akibat pandemik Covid-19,” jelas kenyataan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN