PUTRAJAYA: Tempat kerja terus merekodkan pertambahan kluster tertinggi iaitu lapan daripada 11 kluster Covid-19, hari ini, dengan tiga komuniti dan dua pendidikan lain.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tempat kerja melibatkan tiga di Johor, dua di Kelantan manakala Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor, masing-masing satu kluster.
“Tiga kluster komuniti pula, dua di Pahang dan satu di Johor, manakala dua pendidikan lain melibatkan Kelantan dan Kedah.
“Jumlah terbabit menjadikan keseluruhan kluster aktif sebanyak 911 kluster manakala 4,649 kluster tamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia terus mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 iaitu 9,890 kes berbanding semalam, 9,380 kes, namun diatasi 12,884 kes sembuh, manakala 827 kes berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 445 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
Katanya, tiga negeri merekodkan kes melebihi 1,000 iaitu Sarawak (1,413), Selangor (1,402) dan Kelantan (1,032).
“Sebanyak 11 negeri mencatatkan kes tiga angka iaitu Johor (993), Sabah (820), Perak (794), Pulau Pinang (721), Terengganu (699), Pahang (564), Kedah (503), Melaka (260), Kuala Lumpur (250), Perlis (200) dan Negeri Sembilan (180).
“Putrajaya pula merekodkan 59 kes manakala Labuan hanya sifar kes,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan jumlah kes kematian yang dilaporkan, berlaku sedikit penurunan sebanyak 105 kes berbanding kelmarin, 117 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my sekali gus menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 26,981 kes.
Sebanyak 26 daripada 105 kematian melibatkan kes yang dibawa ke hospital (BID) dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 5,424 kes. – UTUSAN