Pendakwaan terhadap Netanyahu ganggu rundingan Iran dan Hamas - Trump

Pendakwaan terhadap Netanyahu ganggu rundingan Iran dan Hamas – Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan bahawa negaranya tidak akan berdiam diri terhadap pendakwaan berterusan ke atas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu atas tuduhan rasuah.

“AS membelanjakan berbilion dolar setiap tahun, jauh lebih banyak berbanding negara lain untuk melindungi dan menyokong Israel. Kami tidak akan berdiam diri terhadap perkara ini,” kata Trump menerusi hantaran di platform Truth Social miliknya.

Kenyataan itu hadir sehari selepas mahkamah Israel menolak permohonan Netanyahu untuk menangguhkan sesi keterangan dalam perbicaraan kes rasuahnya kerana beliau gagal memberikan justifikasi yang munasabah.

Dalam satu kes, Netanyahu dan isterinya Sara didakwa menerima lebih AS$260,000 (RM1.09 billion) dalam bentuk barangan mewah seperti cerut, barang kemas dan champagne daripada beberapa bilionair sebagai balasan untuk layanan politik istimewa.

Dalam dua kes lain, beliau dituduh cuba mendapatkan liputan media yang lebih baik daripada dua media utama Israel.

Netanyahu menafikan semua tuduhan dan sebelum ini mengucapkan terima kasih kepada Trump atas sokongannya dalam konflik ketenteraan Israel-Iran yang berakhir dengan gencatan senjata minggu lalu.

Peguam Netanyahu sebelum ini memohon agar perbicaraan ditangguhkan selama dua minggu bagi membolehkan perdana menteri menumpukan perhatian terhadap isu keselamatan namun permohonan itu ditolak.

Trump, yang sejak Rabu lalu membela Netanyahu dengan menyifatkan pendakwaan itu sebagai satu pemburuan politik, sekali lagi mengulangi pendiriannya dengan menyebut Netanyahu sebagai seorang ‘wira perang’.

“Tragedi ini akan mengganggu rundingan dengan Iran dan Hamas,” katanya namun tidak memperincikan bentuk rundingan yang dimaksudkan khususnya dengan Iran.

Trump turut membandingkan kes Netanyahu dengan kes jenayah yang dihadapinya sendiri sebelum beliau kembali ke Rumah Putih untuk penggal kedua.

Pada Mei 2024, Trump disabitkan dengan 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan berkaitan pembayaran wang tutup mulut kepada seorang bintang filem dewasa.

Beliau juga menghadapi dua kes Persekutuan termasuk dakwaan berusaha membatalkan keputusan Pilihan Raya Presiden 2020 yang dimenangi oleh bekas Presiden AS, Joe Biden. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×