fbpx

78 peratus lengkap vaksin, UiTM bersedia kembalikan kuliah bersemuka

ROZIAH Mohd. Janor (tengah) menyertai aktiviti senam aerobik bersama mahasiswa dalam Program Santai Bersama Naib Canselor di DATC UiTM semalam. - FOTO/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lebih 50,000 mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang sudah kembali ke kampus digalakkan untuk hadir ke kuliah untuk merasai semula pengalaman belajar secara bersemuka pada semester baharu ini.

Galakan kuliah secara bersemuka itu dibuat selepas 78 peratus kakitangan pentadbiran dan akademik UiTM sudah pun lengkap divaksin. 

Menurut Naib Canselornya, Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor, sasaran pelajar untuk belajar bersemuka kini melibatkan 56,000 pelajar yang majoritinya adalah mahasiswa UiTM di zaman pandemik Covid-19.

“Kita ingin pelajar yang sebelum ini menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) untuk mendapat pengalaman belajar secara bersemuka dengan pensyarah mereka.

“Walau bagaimanapun semuanya bergantung kepada fakulti terbabit sama ada membenarkan pengajaran secara bersemuka atau tidak. Jika pelajar tergolong dalam kelompok  berkeperluan untuk belajar bersemuka kita benarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Santai Sukan Bersama Naib Canselor UiTM di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) hari ini yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi dan Pengarah Pembangunan Pelajar, Dr. Shahsuzan Zakaria.

Sebelum ini, universiti terbesar dengan 35 cawangan seluruh negara itu melaksanakan pembelajaran secara jarak jauh dalam talian, Online Distance Learning (ODL) sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Roziah masih membenarkan fakulti untuk meneruskan kuliah secara ODL seratus peratus termasuk mahasiswa yang berada di semester satu semua kursus.

“Fakulti Undang-undang misalnya masih melaksanakan PdPR dan kita membenarkannya melibatkan semua pelajar,” katanya.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan 15 Oktober lalu seramai 53,000 daripada 172,000 mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) kembali ke kampus di kesemua 35 cawangannya seluruh negara secara berperingkat selepas kerajaan membenarkan mereka untuk meneruskan kuliah secara bersemuka.

Daripada jumlah itu seramai 6,473 mahasiswa kembali ke kampus UiTM di Shah Alam dan mula mendaftar masuk ke kolej kediaman mengikut giliran fakulti masing-masing dan sehingga jumlah yang dijangka kembali pada hari pertama (Jumaat) adalah 1,653, Sabtu (1,867) dan Ahad (1,344) serta mereka yang memohon untuk tinggal di kolej. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI