64.9 juta ayam, lebih 1 bilion biji telur ayam dikeluarkan bulan ini

64.9 juta ayam, lebih 1 bilion biji telur dikeluarkan bulan ini, dijamin mencukupi

Pemborong ayam dakwa perniagaan mereka akan terjejas jika kerajaan membawa masuk ayam dari luar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengeluaran ayam dan telur ayam dijamin mencukupi bagi menampung keperluan dan permintaan pengguna berdasarkan data diperoleh melalui pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menurut kenyataan KPDNHEP, Bahagian Penguat Kuasa kementerian tersebut sentiasa membuat pemantauan bekalan berkala ke atas 20 syarikat pengeluar ayam yang mewakili 1,028 ladang bermula 22 September tahun lalu. 

Katanya, selain itu pemantauan bekalan ke atas 50 syarikat pengeluar telur ayam yang mewakili 101 ladang turut dijalankan bermula awal Mei tahun lalu bagi melihat kedudukan bekalan ayam dan telur ayam di seluruh negara. 

“Dianggarkan pengeluaran bekalan bagi ayam oleh pihak penternak di pasaran pada bulan ini adalah sebanyak 64.9 juta ekor sebulan, manakala anggaran pengeluaran bekalan bagi telur ayam adalah melebihi 1 bilion biji sebulan. 

“Selain itu, KPDNHEP juga sentiasa menjalankan pemeriksaan berkaitan keberadaan bekalan ayam dan telur ayam ke atas 2,711 peruncit terpilih daerah (DDR) dan 1,039 pemborong terpilih daerah (DDW) secara harian yang meliputi 222 Parlimen dan 576 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara,” katanya di sini hari ini. 

Kenyataan akhbar tersebut susulan KPDNHEP mengambil maklum dan reaksi proaktif ke atas laporan akhbar dan media sosial berhubung peningkatan permintaan ke atas ayam dan telur ayam di pasaran berikutan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

Dalam pada itu, kenyataan itu menyebut, susulan daripada pewartaan ayam dan telur ayam sebagai barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, KPDNHEP berperanan memastikan bekalan ayam dan telur ayam sentiasa stabil, mencukupi dan mudah diperoleh pengguna pada harga munasabah di pasaran. 

Selain itu, katanya, KPDNHEP menjalinkan kerjasama dengan agensi lain berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta menjalankan pemeriksaan secara berkala di peringkat penternak, pemborong dan peruncit dari segi pengeluaran dan pengedaran. 

KPDNHEP turut mengingatkan peniaga agar lebih bertanggungjawab dalam memastikan pengeluaran dan pengedaran ayam dan telur ayam sentiasa mencukupi untuk keperluan pengguna. 

“Mana-mana individu atau syarikat yang melanggar undang-undang berkaitannya boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. 

“Sekiranya disabitkan kesalahan, peniaga boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Pengguna yang mempunyai maklumat berhubung salah laku peniaga boleh menyalurkan aduan kepada pihak KPDNHEP melalui saluran berikut Whatsapp 019-279 4317 atau Ez ADU KPDNHEP atau portal aduan.kpdnhep.gov.my atau Call Centre 1-800-886-800 atau Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245 selain emel [email protected]. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN