5,200 isi rumah di Balik Pulau bakal alami tekanan air rendah Isnin depan

5,200 isi rumah di Balik Pulau bakal alami tekanan air rendah Isnin depan

BEBERAPA kawasan di Balik Pulau, Pulau Pinang bakal mengalami tekanan air rendah Isnin depan ekoran kerja penyambungan saluran paip air mentah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kira-kira 5,200 isi rumah di kawasan Balik Pulau dekat sini akan mengalami tekanan air rendah pada Isnin depan dari pukul 8 pagi hingga 6 petang. 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, ini kerana PBAPP terpaksa menghenti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Pinang selama 10 jam untuk menyambungkan saluran paip air mentah 300 milimeter (mm) keluli lembut (MS) baharu di saluran muka sauk air mentah Titi Kerawang, Balik Pulau. 

Katanya, pada 20 Ogos lalu saluran paip 150 mm dan 225 mm di muka sauk itu telah rosak akibat daripada ditimpa batu-batu yang jatuh ketika ribut kuat. 

“PBAPP perlu memasang saluran paip kecemasan sementara untuk menyalurkan bekalan air mentah ke LRA Sungai Pinang. 

“Semua kerja pemasangan dan pembaikan paip air mentah di muka sauk telah selesai. Setelah PBAPP memulakan operasi saluran paip 300 mm yang baharu, pengeluaran air terawat akan pulih di LRA Sungai Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut beliau, bagaimanapun LRA itu perlu dihenti tugas untuk membolehkan kerja penyambungan akhir saluran paip. 

Tambahnya, pengguna air domestik dan perniagaan di kawasan berkenaan disarankan untuk menyimpan air mencukupi bagi mengelak masalah berkaitan bekalan air. 

“PBAPP memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan pengguna air yang memerlukan khidmat nasihat atau bantuan boleh menghubungi Pusat Panggilan 24 jam kami di talian 04-2558255,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya