2 individu rugi RM22,100 ditipu skim pelaburan tidak wujud  - Utusan Malaysia

2 individu rugi RM22,100 ditipu skim pelaburan tidak wujud 

NOORZAINY MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Hasrat dua peniaga mendapat keuntungan segera bukan sahaja tidak kesampaian malah mereka  kerugian RM22,100 akibat diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud dalam kejadian berasingan, kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, seorang wanita berusia 36 tahun diperdaya untuk menyertai pelaburan berasaskan emas melalui laman sosial Facebook. 

Ujarnya, mangsa yang membuat pelaburan sebanyak RM16,000 teruja menyertai skim terbabit selepas melihat rakan-rakannya mendapat pulangan yang dijanjikan. 

“Bagaimanapun, mangsa menyedari  ditipu apabila ejen pelaburan berkenaan bertindak keluar daripada kumpulan aplikasi WhatsApp dan gagal dihubungi,” katanya di sini.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki kerugian RM6,100 selepas menyertai skim pelaburan Khalifah Trust yang yang menjanjikan keuntungan segera dalam tempoh 48 jam. 

Noorzainy berkata, mangsa yang berusia 30 tahun memilih pakej pelaburan bernilai RM500 yang menawarkan pulangan keuntungan  sebanyak RM9,000. 

“Bagaimanapun, mangsa dikehendaki menjelaskan beberapa bayaran tambahan sebagai syarat untuk mendapatkan pulangan yang dijanjikan sebelum menyedari ditipu selepas ejen pelaburan gagal dihubungi.

“Lakukan semakan lanjut di pautan http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi memastikan akaun bank yang digunakan bagi tujuan pelaburan bebas daripada penipuan,” katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN