KULAI: Polis Johor mengambil tindakan terhadap dua individu yang mendakwa sebagai rakyat tempatan namun bertindak mengisi minyak petrol RON95 ke dalam sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura, di sini semalam.
Kejadian tersebut tular menerusi satu rakaman video memaparkan seorang lelaki menegur perbuatan dua individu lain masing-masing seorang lelaki dan wanita kerana mengisi minyak petrol RON95 yang dikhaskan kepada rakyat 9tempatan.
Lebih mengejutkan, sebahagian nombor pendaftaran Singapura di bahagian belakang kenderaan tersebut dilihat telah ditutup dengan pelekat berwarna hitam bagi menampakkan ia seolah-olah nombor pendaftaran kenderaan tempatan.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 10.35 malam, semalam sebelum pihaknya menerima laporan pada pukul 10.05 pagi, hari ini.
“Laporan telah dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor untuk tindakan lanjut kerana melibatkan minyak subsidi.
“Pihak polis akan mengambil tindakan saman keatas pemilik kenderaan jika berjaya dikesan kerana siasatan awal mendapati nombor plat kenderaan terbabit menyalahi peraturan yang ditetapkan,” jelasnya.
Rakaman video yang tular tersebut memaparkan seorang lelaki tempatan menegur perbuatan dua individu berkenaan sebelum pasangan tersebut mendakwa mereka merupakan warga tempatan. – UTUSAN










