fbpx

19 mangsa banjir ditempatkan di PPS SMK Dato Hamzah

ELYA MARINI DARMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Banjir yang melanda perumahan sekitar Jalan Mohd. Yamin di sini masih lagi tidak selamat untuk penduduk kembali apabila keadaan belum reda sepenuhnya walaupun paras air beransur-ansur surut sejak pagi semalam.

Susulan hujan lebat semalam, sebanyak 19 mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Hamzah, Pelabuhan Klang. 

Namun sehingga petang semalam, jumlah mangsa di PPS semakin berkurangan apabila sebahagian mereka dibenarkan kembali ke rumah.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Elya Marini Darmin berkata, pusat tersebut dibuka serta-merta semalam bagi menampung penduduk yang terkesan akibat kejadian tersebut.

“Atas prosedur operasi standard (SOP) pandemik Covid-19 ketika ini, semua mangsa banjir ditempatkan di kelas yang terdapat di dalam sekolah terbabit. Bagaimanapun, jumlah individu di PPS tersebut semakin berkurang kerana air semakin surut di kawasan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat pemeriksaan terhadap sebuah kilang perabot di Jalan Korporat 2, Taman Perindustrian Meru, di sini semalam.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan sembilan buah kawasan di seluruh Selangor dilanda banjir semalam, setelah hujan lebat turun selama beberapa jam.

Akibat kejadian itu, sebanyak 259 mangsa dipindahkan ke PPS yang dibuka di Balai Raya Kampung Salak Tinggi, Bukit Tampoi serta SMK Dato Hamzah.   

Sementara itu, Elya Marini berkata, hujan berterusan serta air pasang yang berlaku di perairan Klang turut menyumbang kepada kejadian banjir kilat semalam.

Justeru itu, beliau meminta penduduk daerah tersebut menghubungi Pasukan Tindakan Segera (Skuad Pantas) majlis tersebut bagi mendapat bantuan segera. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI