PETALING JAYA: Sebanyak 1,500 petugas barisan hadapan terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima sumbangan MAFI Prihatin seumbangan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
Menterinya Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, sumbangan 10 tan metrik membabitkan hasil pertanian seperti sayur sayuran, buah-buahan dan produk industri makanan ini diberikan bagi membantu golongan sasar yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Selain itu katanya, ia diberikan bagi menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang bekerja keras mengekang penularan wabak ini.
“Program MAFI Prihatin ini dapat memberi ruang dan manfaat kepada pelbagai pihak terutama sekali di dalam tempoh pandemik yang begitu mencabar.
“Ia diberikan agar manfaat ini sampai kepada petugas barisan hadapan dalam usaha menaikkan semangat dan usaha mereka berjuang memerangi wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE