13 ah long kena cekup - Utusan Malaysia

13 ah long kena cekup

ANTARA dokumen termasuk maklumat peribadi dan kad bank yang dirampas polis ketika menahan 13 lelaki terlibat dalam kegiatan ah long di Horizon Hill, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Polis menahan 13 individu yang bergiat aktif dengan sindiket ah long menerusi Operasi Vulture yang dijalankan di Horizon Hill, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, operasi berkenaan dijalankan pada pukul 1 petang dengan kesemua suspek warga tempatan berusia antara 19 hingga 28 tahun ditahan.

“Dalam operasi berkenaan, polis merampas 25 telefon bimbit, dua komputer, 19 kad ATM, satu kotak berisi dokumen perjanjian dan surat-surat yang dihantar kepada peminjam yang gagal membayar pinjaman.

“Hasil siasatan yang dijalankan terhadap kesemua suspek, tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Dzulkhairi, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan kesemua yang ditahan telah dibawa ke Mahkamah Johor Bahru untuk proses mendapatkan reman.

Kegiatan ah long yang mengugut mangsa sering dilaporkan di negeri ini termasuk kejadian sebuah keluarga yang hidup ketakutan setelah diugut bunuh oleh sindiket itu, gara-gara pinjaman wang yang diberikan secara paksa kepada adiknya yang bekerja di Singapura.

Lelaki yang dikenali sebagai Ng, 37, berkata, ah long itu turut menyimbah cat merah pada kereta adiknya di rumah ibu bapa mereka di Taman Desa Jaya, di Johor Bahru selain menghantar gambar pistol kepadanya menerusi aplikasi WhatsApp, pada 8 Oktober lalu.

Ng berkata, kejadian bermula apabila adiknya yang bekerja di sebuah kilang di republik itu terdesak untuk menggunakan duit dan melayari aplikasi pinjaman wang di media sosial pada awal September lalu.

Jelasnya, walaupun adiknya berubah fikiran untuk tidak mahu membuat pinjaman, mereka bertindak meneruskan pemberian pinjaman tidak berlesen itu berjumlah S$1,000 setelah memperoleh maklumat peribadi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN