KUALA LUMPUR: Pelakon, Kamal Adli, 39, tetap dengan pendiriannya untuk mempertahankan rumah tangganya yang terbina sejak empat tahun lalu.
Kata Kamal, demi masa depan anaknya, Hawra Uqaira, dia tidak akan tunduk dengan permintaan isteri yang juga pelakon, Uqasha Senrose untuk bercerai.
“Saya masih nak pertahankan perkahwinan ini. Tapi ikut prosedur yang betul, tidaklah saya keluarkan kenyataan bodoh.
“Kalau Allah tentukan jodoh kami kuat, maka bertahanlah perkahwinan ini.
“Saya pertahankan pun kerana anak, bukan untuk diri sendiri,” katanya yang tiba di perkarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Kamal dan Uqasha hadir ke mahkamah pagi bagi mendengar hasil perbincangan jawatankuasa pendamai bagi proses perceraian mereka.
Kamal dalam masa yang sama tidak menafikan masih berdepan halangan untuk berjumpa Uqasha dan hanya berpeluang bertemu isteri di mahkamah.
“Ruang berdepan Uqasha adalah di mahkamah sahaja sebab banyak halangan untuk berjumpa dia.
“Apa pun saya tetap akan ikut saluran yang betul, ikut prosedur ditetapkan mahkamah,” kongsinya lagi.
Uqasha pada 1 Oktober lepas memfailkan cerai di mahkamah tersebut atas alasan tiada persefahaman dengan suami, selain berlaku pergolakan rumah tangga.
Pasangan itu sah bergelar suami isteri pada 5 November 2021 dalam sebuah majlis yang diadakan di Janda Baik, Pahang. – UTUSAN











