SEREMBAN: Penghuni sebuah rumah di Taman Pinggiran Senawang di sini berdepan detik cemas apabila rumah teres dua tingkat didiami mereka mengalami runtuhan struktur pagi tadi.
Runtuhan di bahagian depan rumah itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan namun telah menyebabkan tiga buah kenderaan rosak.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan memaklumkan telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 4.51 pagi.
“Kesan runtuhan telah mengakibatkan tiga buah kenderaan yang berada di hadapan rumah mengalami kerosakan.
“Bagaimanapun, penghuni rumah telah dikeluarkan lebih awal oleh jiran tetangga sebelum runtuhan berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, operasi berjaya dikawal pada pukul 5.08 pagi dengan pasukan bomba menjalankan pemantauan di sekitar kawasan rumah bagi memastikan tiada risiko bahaya susulan.
“Pihak bomba turut menunggu tindakan lanjut daripada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) berkaitan keselamatan struktur bangunan,” katanya. – UTUSAN










