SHAH ALAM: Sasaran 1,000 aktivis daripada 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan digerakkan bagi menjayakan Kempen Selamatkan Keluarga Malaysia daripada arak dan judi.
Menurut Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid, setakat ini 38 NGO sudah menyatakan komitmen untuk menjayakan kempen tersebut di tempat awam seperti sekolah, masjid, kuil, tokong dan gereja.
“Kempen ini kami akan gerakkan segera walaupun ramai netizen mengecam tindakan kami melancarkan kempen ini.
“Harus diingat Mapim dan semua NGO melancarkan kempen ini bukan untuk umat Islam semata-mata tetapi merentasi agama, budaya dan latar belakang,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran kempen tersebut di pejabat Mapim di Space U8 Bukit Jelutong hari ini.
Beliau memberitahu, Mapim membantah penggunaan arak sebagai minuman di negara ini bukan kerana jenama Timah yang berunsur kemelayuan, tetapi arak itu sendiri menjadi punca kemalangan maut, masalah rumah tangga dan kesihatan.
Mengulas mengenai judi, Mohd. Azmi berkata, rakyat Malaysia membelanjakan duit mereka sebanyak RM9 juta setahun untuk tujuan tersebut.
“Kesan judi bukan sahaja menyebabkan masalah ekonomi dan keharmonian keluarga malah menyebabkan ramai yang berhutang dan membunuh diri.
“Justeru pihak Mapim dan semua NGO yang terlibat berharap Kerajaan Pusat mengurangkan lesen perjudian dan mengenakan cukai arak yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Penasihat Pengguna Malaysia, M.Jeyakumar berkata, pihaknya sebagai wakil komuniti kaum India menyokong penuh kempen tersebut.
“Kita mahu kempen ini diadakan seluruh negara kerana kedua masalah ini bukan masalah satu golongan sahaja tetapi melibatkan semua bangsa dan agama,” katanya.
Sementara itu wakil NGO Kristian, Association of Nexgen Christians Of Malaysia, Jason Leong berkata, arak murah dengan harga serendah RM5 memerlukan penguatkuasaan dan pemantauan oleh pihak berkuasa diperkasakan.
“Arak murah ini boleh menyebabkan ketagihan dalam kalangan peminumnya. Kita bimbang generasi muda terjebak menjadi peminum tegar satu hari nanti. Harap kerajaan mengambil langkah mengatasi penjualan arak sebegini,” tegasnya.










