TASEK GELUGOR: Sekurang-kurangnya 10 kes positif Covid-19 melibatkan enam peniaga, tiga pembantu perniagaan serta seorang pembantu awam dikesan berlaku di Pasar Awam Tasek Gelugor di sini hingga hari ini.
Sehubungan itu, pasar awam tersebut yang ditutup buat kali kedua selama tiga hari bermula kelmarin dilanjutkan tempoh penutupannya bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi serta pengesanan kontak dibuat.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, tempoh pelanjutan itu akan dibuat selama lima hari bermula esok sehingga 9 Oktober ini.
“Penutupan ini melibatkan keseluruhan 66 peniaga yang menjalankan perniagaan di dalam pasar awam dan lapan penjaja di luar pasar awam.
“Selain itu, tujuh petugas MBSP yang bertugas di sana turut terlibat dan akan disaring,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Pasar Awam Tasek Gelugor itu pernah ditutup antara 24 Ogos hingga 2 September lalu gara-gara Covid-19.
Pasar awam tersebut menjadi pasar awam yang kedua ditutup sebanyak dua kali di Seberang Perai akibat penularan pandemik berkenaan selepas Pasar Awam Bukit Mertajam sebelum ini.
Dalam perkembangan berasingan, Rozali memberitahu, MBSP merangka beberapa pelan tindakan di bawah pra Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) susulan penurunan kes harian Covid-19 di Pulau Pinang sejak beberapa hari lalu.
Katanya, pelan tindakan itu melibatkan pengoperasian pasar awam dan kompleks makanan MBSP, taman rekreasi, bangunan strata, pasar malam, pasar pagi, pasar tani dan uptown di seluruh Seberang Perai.
Menurut beliau, di bawah pelan tindakan tersebut, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) akan diperketatkan dan beberapa penambahbaikan juga akan dibuat demi kesejahteraan awam. -UTUSAN ONLINE










