Warga emas rabun rempuh SJR - Utusan Malaysia

Warga emas rabun rempuh SJR

PAPAN amaran yang rosak akibat dirempuh pemandu warga emas di SJR depan Pondok Polis Chekok, Pasir Mas, Kelantan,  petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Akibat rabun dan hujan lebat, seorang lelaki warga emas yang memandu sebuah Perodua Myvi gagal melihat papan amaran lalu merempuhnya di sekatan jalan raya (SJR) Pondok Polis Chekok, Tok Uban, di sini semalam.

Kejadian pukul 5.30 petang ketika hujan lebat itu mengejutkan anggota yang berkawal di SJR tersebut, namun pemandu berusia 60 tahun terbabit dengan ‘selamba’ meneruskan perjalanan seperti biasa.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, ketika kejadian, kereta dipandu warga emas itu datang dari arah Tanah Merah dan dalam perjalanan menghala ke Melor, Kota Bharu.

Katanya, ekoran kesalahan dilakukan itu, polis segera mengesan lelaki tersebut sebelum menahannya dan merampas kenderaan dipandu di pekarangan Balai Polis Melor, tidak lama kemudian.

“Hasil soal siasat awal, dia yang bekerja sebagai petani didapati mempunyai masalah rabun akibat selaput pada bahagian mata. 

“Lelaki itu memberitahu hujan terlampau lebat menyebabkan dia gagal mengelak papan amaran di SJR. Dia menyedari kejadian itu namun disebabkan hujan lebat, dia tidak dapat berhenti,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Nasaruddin berkata, warga emas berkenaan ke Tanah Merah untuk membeli alat ganti mesin baja miliknya yang rosak dan semakan lanjut mendapati dia mempunyai surat kebenaran rentas daerah yang dikeluarkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

“Semakan turut mendapati lelaki itu menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19. Saringan air kencing mendapati dia negatif dadah selain tidak mempunyai sebarang rekod lampau jenayah,” katanya.

Menurut beliau, suspek ditahan reman bagi membantu siasatan namun dibebaskan hari ini dengan jaminan polis. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN