PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki warga asing selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan sehingga mengelar seorang individu di sebuah dewan masyarakat di Taman Sentosa, dekat sini semalam.
Polis menerima maklumat berhubung kejadian itu selepas seorang pengawal keselamatan berusia 52 membuat laporan melihat insiden tersebut.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.20 malam apabila mangsa berusia 32 tahun itu didatangi lelaki dipercayai kurang siuman dan menetaknya dengan parang.
Timbalan Ketua Polis Brickfields, Superintenden Basri Sagoni, suspek kemudian terus melarikan diri ke arah semak di belakang dewan lokasi kejadian.
“Siasatan lanjut mendapati mangsa tidak mengenali kedua-dua lelaki tersebut.
“Mangsa yang juga warga asing mengalami kecederaan serius di pipi, leher dan siku sebelah kiri badan akibat dikelar oleh suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Basri berkata, susulan itu, pihaknya telah pergi ke kawasan belukar yang terletak di belakang sebuah stesen minyak di Taman Sentosa dan menahan seorang lelaki warga asing berusia 31 tahun.
Ujarnya, lokasi tangkapan adalah di dalam belukar jarak kira-kira 800 meter dari tempat kejadian.
“Polis juga telah membuat rampasan barang kes berupa pakaian yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa kejadian.
“Suspek direman di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bermula hari ini sehingga 16 September depan,” ujarnya.
Tambahnya, ujian saringan air kencing turut dijalankan namun suspek didapati negatif dadah.
“Kita juga menggunakan bantuan kepakaran daripada Unit Anjing Pengesan K9 di lokasi kejadian untuk mengesan barang kes disyaki parang namun belum ditemukan.
“Motif kejadian belum dapat dipastikan kerana mangsa dan suspek tidak memberikan kerjasama dan enggan bercakap,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia.- UTUSAN ONLINE