KOTA TINGGI: Kadar populasi dewasa lengkap divaksin yang kini telah mencapai 50 peratus di Johor dilihat mampu menjadi asas kukuh untuk membuka sepenuhnya antarabangsa Malaysia-Singapura di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, tambahan pula Johor dijangka akan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) minggu ini disamping kira-kira 80 peratus daripada 5.9 juta penduduk Singapura sudah lengkap menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19.
Katanya, menerusi perkembangan positif di Johor dan Singapura, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan boleh bincang semula pembukaan sempadan Malaysia-Singapura dengan kerajaan Singapura yang boleh dilakukan secara berperingkat jika tidak dibuka sepenuhnya.
“Mungkin buat permulaan rakyat kedua-dua negara yang sudah lengkap divaksin dibenarkan merentas sempadan tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan dalam keadaan norma baharu.
“Langkah ini sudah dibuat beberapa negara contohnya kerajaan Arab Saudi sudah membenarkan jemaah yang sudah lengkap divaksin masuk negara itu pada 9 Ogos lalu begitu juga di United Kingdom,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan untuk Program Vaksinasi Berkelompok Felda Sungai Mas dan Felda Semenchu di Bandar Penawar, di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, seramai 1,396,010 penduduk di Johor sudah lengkap menerima dos kedua manakala 2,224,784 lagi menerima dos pertama setakat Jumaat.
Kata Che Zakaria, satu keputusan berisiko dan berani perlu dilakukan kerana Covid-19 dalam transisi fasa endemik pada Oktober ini, disebabkan itu perancangan perlu dilakukan dan mustahil untuk menunggu kes Covid-19 di kedua-dua negara mencapai sifar baru dibuka sempadan.
Menurutnya, kedua-dua negara perlu realistik dalam hal itu kerana Malaysia terutama Johor dan Singapura saling bergantung antara satu sama lain serta jika sempadan masih tidak dibuka, kedua-dua negara akan rugi.
“Ekonomi Johor banyak bergantung dengan Singapura, begitu juga sebaliknya, apatah lagi Singapura mempunyai banyak pelaburan di Johor. Hubungan Malaysia-Singapura bukan sahaja berkenaan ekonomi tetapi pertalian keluarga malah ada rakyat kita bersekolah di sana,” katanya.
Sementara itu, Che Zakaria turut mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikannya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) sekali gus merupakan pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan beliau sebelum ini.
“Pelantikan ini tepat pada masanya kerana Tan Sri Muhyiddin adalah pemimpin layak untuk mengemudi MPN. Dicadangkan Pengerusi MPN dilantik di setiap negeri bagi mengukuhkan usaha memerangi Covid-19,” katanya. – UTUSAN










