(VIDE0) Ketegasan penghulu marah individu langgar kuarantin curi tumpuan warganet - Utusan Malaysia

(VIDE0) Ketegasan penghulu marah individu langgar kuarantin curi tumpuan warganet

SEORANG lelaki dipercayai penghulu kampung memarahi seorang individu kerana ingkar arahan kuarantin dan keluar dari rumah walaupun positif Covid-19 di Kampung Melayu, Padang Besar, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Ketegasan seorang lelaki  memarahi dan mengarahkan individu positif Covid-19 dari sebuah kampung di sini, supaya kekal di rumah kerana melanggar arahan kuarantin mendapat perhatian pengguna media sosial.

Video yang dikongsi Izat.F.Razi di akaun Tik Tok bertajuk ‘ketua kampung naik angin sebab pakai gelang pink merayau merata’ itu mendapat perhatian netizen yang turut memuji ketegasan ketua kampung berkenaan.

Di dalam video berdurasi 26 saat itu, penghulu tersebut yang dikenali sebagai Reswan Ramli dilihat berada di luar rumah dua beradik tersebut dan memarahi mereka kerana tindakan melanggar kuarantin keluar dari rumah itu boleh mengundang risiko jangkitan kepada individu lain.

“Soalan saya mudah nak saya tangkap dia, kenapa ingkar arahan, bukannya orang nak tangkap, duduklah dalam rumah, faham,” tegas Reswan dalam video yang tular itu.

Dalam pada itu, Reswan berkata, tindakannya itu adalah untuk memberi pengajaran kepada dua beradik berkenaan supaya tidak mengambil mudah dalam soal kesihatan dan keselamatan diri apabila mereka disahkan positif Covid-19.

“Saya menerima banyak aduan dan rungutan di Padang Besar apabila melihat mereka sewenang-wenangnya keluar dan mengingkari arahan kuarantin diri di rumah untuk bertemu orang ramai.

“Malah, salah seorang daripada mereka sanggup memotong gelang kuarantin dan difahamkan tindakan mereka bertemu rakan menyebabkan ada individu mempunyai kontak dengan mereka turut positif Covid-19.

“Perkara seperti ini tidak boleh dipandang ringan dan pendekatan secara berlembut dilihat tidak dapat memberikan kesan kepada dua beradik tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintenden Saifudin Aslin Abbas mengesahkan dua beradik tersebut dikompaun sebanyak RM8,000 kerana melanggar arahan kuarantin serta melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Jelasnya, untuk kesalahan tersebut, dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 dan RM1,500 pula kerana tidak mematuhi SOP dengan membawa masuk rakan ke premis kuarantin

“Seorang lagi ahli keluarga wanita yang berusia 24 tahun juga dikompaun sebanyak RM1,500 kerana keluar daripada premis kuarantin.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen Peraturan 16 P.U. (a) 293/2021 Akta 342, Ordinan Darurat (Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN