KUALA LUMPUR : Akhbar Utusan Malaysia akhirnya dibenarkan membuat liputan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Majlis Parlimen Keempat Belas di Parlimen, minggu depan.
Perkara itu disahkan jurucakap Parlimen dengan memaklumkan, akhbar arus perdana itu boleh menghantar petugas untuk membuat liputan secara fizikal.
“Utusan boleh masuk,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.
Semalam dilaporkan, buat pertama kali dalam sejarah penubuhannya Utusan Malaysia tidak tersenarai sebagai media arus perdana untuk membuat liputan secara fizikal di Parlimen.
Ia berbeza dengan jemputan media sebelum ini yang membenarkan akhbar berkenaan membuat liputan secara fizikal bersama 15 media yang lain.
Dalam jemputan media yang dikeluarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun semalam, sebanyak 16 agensi dibenarkan iaitu RTM, Bernama, Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) dan Finas sebagai penyiar rasmi, media TV3 dan Astro Awani pula mewakili agensi elektronik (TV).
Bagi akhbar Bahasa Melayu, ia diwakili Berita Harian dan Sinar Harian, sementara The Star dan The Sun mewakili akhbar Bahasa Inggeris.
Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau, Malaysia Nanban dan AFP masing-masing mewakili akhbar berbahasa Cina dan Tamil dan media antarabangsa.
Bagi media dalam talian pula, ia diwakili Malaysia Kini dan Malaysia Now. – UTUSAN ONLINE