PETALING JAYA: Transformasi Parlimen bakal disegerakan sebelum diangkat kepada Kabinet untuk dinilai dan diluluskan.
Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim dalam satu kenyataan bersama Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, tumpuan kepada agenda penambahbaikan adalah pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) serta mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992.
Kata kenyataan itu, ia bagi memastikan konsep pengasingan kuasa benar-benar dihayati, dihormati dan diamalkan agar kewibawaan Parlimen selaku badan legislatif tertinggi negara diperkasakan.
Katanya, selari dengan pelan transformasi itu, Peraturan Mesyuarat bagi kedua-dua iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat akan ditambah baik, meliputi aspek perjalanan mesyuarat, disiplin ahli dan bagi memperkuat jawatankuasa-jawatankuasa pilihan yang telah dan bakal dibentuk.
Terdahulu, kenyataan itu dikeluarkan selepas menerima kunjungan Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) semalam.
“Pada pertemuan tersebut, kesemua pihak membincangkan dan sepakat mengenai agenda penambahbaikan struktur pentadbiran serta kerangka perundangan yang bersangkutan dengan peranan Parlimen demi memartabatkan dan mengukuhkan kedudukan Parlimen sebagai sebuah cabang institusi Kerajaan Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Jelas kenyataan itu lagi, kedua-dua Speaker menyambut baik dan akan memberi sokongan padu terhadap langkah transformasi dan reformasi Parlimen yang bakal diusahakan itu.
Katanya, langkah itu adalah sebagai manifestasi kecaknaan untuk mendaulatkan demokrasi berparlimen dan prinsip pengasingan kuasa antara legislatif, eksekutif dan perundangan negara dapat berfungsi dengan sebenarnya serta terus kekal terpelihara.
“Sehubungan itu, kami bertiga akan terus berlibat urus dari semasa ke semasa untuk tujuan tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE