Tok dalang cilik wayang kulit, tukang karut takut bakat hilang

Tok dalang cilik wayang kulit takut bakat hilang jika lambat beraksi

AKSI Pyu di pentas menarik perhatian kerana disifatkan tidak padan dengan usia apabila cekap mengawal patung wayang kulit sambil petah bercerita selain pandai berdikir barat. - FOTO/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: “Bila Pyu boleh buat persembahan atas pentas?” Itulah soalan lazim yang kerap ditanya tok dalang dan tukang karut cilik, Pyu kepada bapanya hampir setiap hari tanpa menyedari lebih setahun industri seni lumpuh di seluruh negara akibat pandemik Covid-19.

Pertanyaan Pyu atau nama sebenarnya, Aqfierudzar Rizq Mohd. Sulhie, 7, menyebabkan si bapa terkedu kerana dia sendiri tidak pasti bila kekangan bakal berakhir.

Pyu pernah tular dua tahun lalu, gara-gara aksinya di pentas yang disifatkan tidak padan dengan usia kerana cekap mengawal patung wayang kulit sambil petah bercerita selain pandai berdikir barat.

Memuatkan artikel berkaitan…
PYU tidak sabar menanti untuk beraksi sebagai tok dalang dalam persembahan wayang kulit.

Keletah comelnya itu berjaya menarik perhatian penonton pelbagai latar belakang sehingga mula dijemput mengadakan persembahan di luar negara seperti Indonesia, Singapura, Brunei dan China.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bapanya, Mohd. Sulhie Yusof, 44, berkata, Pyu tidak sabar kembali beraksi kerana takut bakatnya dalam seni wayang kulit dan dikir barat ‘hilang’ akibat diperam terlalu lama.

Kata Mohd. Sulhie atau Yie Arjunasukma yang juga tok dalang dan tukang karut tersohor, pertanyaan Pyu menjadikan matanya berkaca kerana bukan sahaja khuatir masa depan anak, malah mungkin seni warisan Kelantan juga bakal terkubur.

“Pyu selalu sebut dia sudah tidak sabar untuk beraksi sebab sudah lama rehat. Saya beritahu kerajaan sedang berusaha memberi vaksin Covid-19 kepada rakyat. Selepas itu barulah kita boleh buat persembahan semula.

“Selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob umumkan penggiat seni sudah boleh beraksi semula, saya sekali lagi sebak namun kali ini kerana benar-benar rasa gembira dan lega,” katanya di sini hari ini.

Kata Mohd. Sulhie, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), persembahan pentas tidak dibenarkan langsung menyebabkan segala undangan untuk Pyu, termasuk rakaman program di televisyen ditangguhkan.

“Supaya bakatnya tidak berkarat, saya berikan Pyu tugasan dan jalan cerita tertentu, kemudian dia perlu membuat persembahan tersebut di hadapan saya. Biarpun tanpa penonton, kami tetap gigih berlatih setiap hari.

“Bagi menambah keyakinan kepada Pyu, saya turut membuka akaun Tik Tok khusus untuknya supaya persembahannya dapat ditonton peminat, sekali gus membuatkan dia tambah bersemangat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×