YAN: Seramai 1,762 daripada 12,619 guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara belum menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kesemua guru Kemas terbabit dijangka memperoleh suntikan vaksin dalam tempoh terdekat.
“Mereka masih menunggu untuk mendapatkan suntikan, kita jangka bulan ini boleh selesai.
“Buat masa ini, kita dimaklumkan tiada kes guru Kemas yang enggan menerima vaksin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas melakukan tinjauan di lokasi terjejas di Titi Hayun, di sini hari ini.
Mahdzir turut meninjau kerja-kerja membaik pulih salah sebuah rumah yang terlibat dalam bencana tersebut di Kampung Setol di sini.
Sebanyak 35 buah rumah dilaporkan mengalami kerosakan dalam tragedi yang berlaku selepas hujan lebat di puncak Gunung Jerai pada pukul 3.30 petang.
Tambahnya, daripada jumlah keseluruhan pendidik Kemas itu, seramai 10,857 orang telah menerima suntikan dos pertama.
“Seramai 8,580 orang lagi telah lengkap dua dos suntikan vaksin,” katanya. – UTUSAN










