Tindakan tegas kepada pihak sebabkan pencemaran

Tindakan tegas kepada pihak sebabkan pencemaran

JIMMY PUAH WEE TSE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan tegas mengikut lunas undang-undang negara perlu dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam isu pencemaran di tali air Kampung Baru Sri Aman, Kempas, semalam.

Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, insiden pencemaran bahan kimia seperti itu sepatutnya tidak berulang lagi apatah lagi kejadian sama pernah melanda Sungai Kim Kim, sebelum ini.

“Selain tindakan tegas dikenakan kepada pelaku yang tidak bertanggungjawab, PKR Johor sarankan pihak berkuasa fokus kepada penambahbaikan urus tadbir pengurusan sungai serta memperbanyakkan aktiviti kesedaran dalam kalangan rakyat.

“Selain itu, rasa sayang kepada alam sekitar juga boleh dibentuk dengan memberi didikan awal kepada anak-anak dengan penganjuran aktiviti atau program amal pembersihan kawasan awam sebagai bentuk iktibar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu pihaknya telah menahan empat suspek termasuk seorang pemilik premis yang disyaki terlibat melakukan pembuangan sisa industri berjadual itu, sebelum lima lagi suspek ditahan pada hari sama.

Insiden pencemaran itu mengakibatkan seramai 128 mangsa daripada 37 keluarga dipindahkan sementara empat penduduk wanita dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan akibat sesak nafas.

Jimmy Puah turut memberitahu, pihaknya berasa amat dukacita dengan insiden pencemaran kimia yang berlaku selain ucapan penghargaan kepada anggota bomba dan sukarelawan atas tindakan pantas menyelamatkan mangsa.

“Berdasarkan tinjauan yang dilakukan kami petang semalam, kami dapati bau busuk kimia masih lagi tersisa di udara.

“Susulan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak bomba diseru untuk lakukan kerja-kerja pembersihan tambahan bagi memastikan Sungai Tawakal benar-benar selamat dan tidak lagi tercemar,” ujarnya.

Selain itu katanya, kerajaan negeri perlu menyediakan pelan jangka masa panjang bagi mengatasi insiden itu dan memberi jaminan kepada rakyat agar ianya tidak berulang lagi pada masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya