PUTRAJAYA: Selepas sembilan bulan beroperasi sejak 13 Januari, semua sekatan jalan raya (SJR) di Lembah Klang ditamatkan secara serentak mulai pukul 12 tengah malam tadi susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju peralihan ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa hari ini.
Tidak ketinggalan menyaksikan detik penarikan balik SJR itu ialah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang turut menyantuni petugas terbabit di ibu kota.
“Sebelum pulang ke rumah setelah habis tugasan, saya ambil masa singgah di beberapa SJR sekitar Wilayah Persekutuan,” katanya menerusi hantaran terkini dalam akaun sosial beliau.
Terdapat 19 SJR di sekitar Kuala Lumpur dan empat lagi pula di Putrajaya manakala negeri jirannya, Selangor yang turut sama terlibat penamatan tersebut melibatkan sejumlah 42 SJR.
Penarikan itu juga membolehkan penduduk Lembah Klang dapat merentasi daerah dan negeri terbabit yang kini akan dianggap sebagai satu kawasan liputan jangkitan wabak Covid-19.
“Ini sebahagian daripada tanda terima kasih saya atas keringat dan khidmat petugas barisan hadapan di SJR yang menjaga sempadan antara negeri dan wilayah selama berbulan-bulan.
“Dalam tempoh itu, mereka inilah yang berkorban meninggalkan anak dan isteri atau suami demi menjadi antara benteng utama kita dalam melawan pandemik Covid-19,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, selepas ini mereka mempergiatkan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard.
“Walaupun SJR sudah tamat, orang awam diingatkan supaya terus mematuhi norma baharu yang ditetapkan bagi kawal penularan Covid-19,” katanya kepada pemberita lewat malam tadi.
Putrajaya dijangka menjadi tumpuan ramai warga kota untuk beriadah atau bercuti bersama keluarga dan rakan hujung minggu ini susulan penarikan balik SJR di sempadan wilayah itu. – UTUSAN










