Tiada pencemaran di Sungai Batang Kali - Utusan Malaysia

Tiada pencemaran di Sungai Batang Kali

HEE LOY SIAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Indeks Kualiti Air (IKA) di Sungai Batang Kali dilaporkan berada dalam keadaan baik berdasarkan rekod Jabatan Alam Sekitar dan kekal sehingga kini sebagai Kelas II.

Selain itu trend laporan bagi 2019 hingga 2021 juga menunjukkan kualitinya semakin meningkat setiap tahun.

Malah, kualiti air yang baik itu juga dibuktikan dengan tiada laporan gangguan terhadap abstraksi muka sauk bekalan air.

Perkara itu dimaklumkan Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian yang menafikan sungai berkenaan berhadapan ancaman pencemaran berikutan terdapat aktiviti akuakultur penternakan ikan talapia merah serta pembangunan komersial berhampirannya.

Menurutnya, kerajaan negeri memandang serius dan mengambil langkah proaktif bagi memastikan setiap insiden pencemaran diambil tindakan segera bagi memastikan sumber air Negeri Selangor terpelihara.

“Semakan awal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati premis yang menjalankan aktiviti akuakultur berkeluasan 0.41 hektar berhampiran Sungai Batang Kali berdaftar dengan Jabatan Perikanan Negeri Selangor (JPNS) dan beroperasi selama 10 tahun dengan anggaran 29 kolam selain mempunyai Lesen Abstraksi Air LUAS yang masih sah sehingga 31 Disember 2021.

“Semakan juga mendapati aktiviti premis berkenaan tidak tertakluk dengan Lesen Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar LUAS kerana keluasannya kurang 50 hektar.

“Segala aktiviti lain yang melibatkan sumber air di kawasan Sungai Batang Kali dilesenkan oleh LUAS di bawah Peraturan-Peraturan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar (Selangor) 2012 yang melibatkan tiga aktiviti pencucian pasir dan dua aktiviti penternakan selain babi (ayam),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai berkaitan premis berkenaan serta gangguan terhadap ekosistem di sungai tersebut, malah LUAS turut melaksanakan pensampelan kualiti air dan pemantauan pematuhan lesen secara berkala.

Terdahulu terdapat laporan akhbar mendakwa pencemaran berpotensi berlaku di Sungai Batang Kali susulan terdapat aktiviti akuakultur ikan talapia merah serta pembangunan komersial berhampirannya.

Bagaimanapun, Loy Sian tidak menafikan terdapat aktiviti berkenaan serta beberapa aktiviti yang melibatkan kerja tanah bagi tujuan pembangunan, penternakan, akuakultur, pengorekan dan pencucian pasir, pertanian, perumahan dan eko-pelancongan di kawasan berkenaan.

“Berdasarkan rekod Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) pada 2016 terdapat tujuh resort, chalet dan inap desa di kawasan yang berhampiran Sungai Batang Kali dan Sungai Tamu.

“Pihak LUAS bersama agensi terlibat yang lain sentiasa komited seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, JPNS, MDHS dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor bagi menjalankan siasatan lanjut serta tindakan sewajarnya mengikut bidang kuasa masing-masing terhadap isu dilaporkan bagi memastikan tiada kesan signifikan kepada kualiti air Sungai Batang Kali,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya