Tiada kaitan dengan Barisan Nasional (BN) - Mohamad Hasan

Tiada kaitan dengan BN – Mohamad

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan sama sekali tidak terlibat dalam isu politik terkini yang dihadapi oleh Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Pengerusinya yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, umum mengetahui isu berlaku adalah masalah dalaman dalam parti PKR dan ia juga tiada kena mengena dengan pentadbiran negeri.

“Saya tidak tahu tetapi UMNO dan BN semestinya tidak terlibat. Ini masalah dalam parti, mereka tidak berpuas hati di antara satu sama lain terutama untuk jawatan Pengerusi PKR negeri, tiada kaitan dengan kami, kami tidak tahu menahu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas beliau menghadiri hari terakhir Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 hari ini.

Mohamad dalam pada itu juga menegaskan, BN tidak akan mengambil kesempatan sekiranya desakan daripada kumpulan yang tidak berpuas hati dengan Aminuddin boleh ke tahap menjejaskan kedudukan ADUN Sikamat tersebut sebagai Menteri Besar.

“Tidak tahulah kalau mereka mahu bersama BN, kita tiada masalah tetapi kita tidak terhegeh-hegeh untuk menawarkan diri. Tetapi kalau mereka sudah bosan dengan kepemimpinan mereka dan mereka datang jumpa kami, kami boleh dengar,” katanya.

Aminuddin kini menghadapi desakan daripada sekumpulan ahli MPN PKR negeri yang mahu menggantikan beliau dengan individu lain untuk jawatan Pengerusi MPN PKR negeri.

Turut menandatangani akuan bersumpah (SD) supaya beliau digantikan ialah empat orang daripada enam ADUN PKR di negeri.

Mereka ialah ADUN Labu, Datuk Ismail Ahmad, ADUN Ampangan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek, ADUN Sri Tanjung, Datuk M. Ravi dan ADUN Chuah, Datuk Yek Diew Ching.

Sementara itu, Ismail dalam sidang akhbarnya berkata, terserah kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyerahkan jawatan Pengerusi MPN PKR Negeri Sembilan kepada mana-mana individu yang difikirkan layak.

“Jika ikut peraturan, terserah perbincangan semua ketua-ketua cabang yang kemudian mencadangkan kepada Presiden dan Presiden nanti akan buat keputusan, kuasa-kuasa Presiden.

“Kita pun tidak tahu siapa, tidak semestinya siapa-siapa yang ada dalam itu (MPN), mungkin Presiden akan jadi, kita tidak tahu atau orang lain daripada Pusat untuk mengetuai, kita tidak tahu, masalah ini saya harap diambil tindakan segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN