Terima wang haram, dua beranak dipenjara empat tahun

Terima wang haram, dua beranak dipenjara empat tahun

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Dua beranak dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas 18 pertuduhan, enam daripadanya melibatkan penerimaan wang hasil aktiviti haram melebihi RM720,000.

Hakim Syafeera Mohd. Said menjatuhkan hukuman itu terhadap, Leong Yih Pak, 60, dan Leong Jun Yuan, 33, pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh yang merupakan pengarah sebuah syarikat pemborong gas petroleum cecair (LGP) menjalani hukuman penjara serentak, bermula hari ini.

Bagaimanapun, Syafeera membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu pelupusan rayuan.

Mereka didakwa atas enam tuduhan menerima wang berjumlah RM727,424.50 hasil aktiviti haram melalui akaun semasa milik syarikat mereka di sebuah bank di sini antara 15 Mei dan 21 Julai 2017.

Yih Pak dan Jun Yuan dijatuhi hukuman penjara empat tahun bagi setiap kesalahan tersebut. Hukuman berjalan serentak.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda.

Sementara itu, bagi enam kesalahan gagal menyelenggara buku stok dan enam kesalahan menjual barang kawalan, mereka dikenakan hukuman penjara setahun setiap satu.

Pertuduhan gagal menyelenggara buku stok borong gas itu dilakukan dengan tidak memasukkan butiran yang menunjukkan harga jualan, nama dan alamat pembeli.

Perbuatan itu yang melanggar Subperaturan 13(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di premis mereka di Taman Perindustrian Ehsan Jaya, Kepong dekat sini antara 1 Mei dan 9 Julai 2017.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Subperaturan 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Enam lagi pertuduhan ialah menjual barang kawalan iaitu gas kepada sebuah syarikat yang tidak mempunyai kebenaran bertulis daripada pegawai bekalan. Hukuman penjara setahun dikenakan bagi setiap tuduhan.

Perbuatan itu melanggar Subperaturan 9(2)(b) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di premis mereka antara 1 Mei 2017 dan 9 Julai 2017.

Mereka didakwa mengikut Subperaturan 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman sama.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amin Azmi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam R. Nadarajan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.