IPOH: Bertukar pemilik dan tidak mengetahui kewajipan penyelenggaraan dikenal pasti antara punca premis industri gagal mengosongkan tangki septik secara berjadual, termasuk ada yang tidak pernah diselenggara sehingga 20 tahun.
Perkara itu didedahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ketika melaksanakan operasi penguatkuasaan ‘Op Kejor’ bersama Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Menglembu dan Chandan, di sini hari ini.
Pengarah Seksyen Penguatkuasaan Bahagian Operasi SPAN, Ainal Yusman Mohamad Yusop berkata, pemeriksaan mendapati terdapat premis gagal mengosongkan tangki septik mengikut jadual walaupun notis telah dikeluarkan sebelum ini.
“Kalau ikutkan ada yang dah lebih setahun dan ada yang melepasi tempoh wajib pengosongan iaitu dua tahun.
“Malah berdasarkan semakan, ada premis yang paling lama tidak pernah buat pengosongan tangki septik sehingga 20 tahun.
“Selalunya alasan yang diberikan ialah bertukar pemilik, tidak tahu kewajipan selain kurangnya kesedaran (kepentingan mengosongkan tangki septik secara berjadual),” katanya kepada pemberita selepas Op Kejor di kawasan Perindustrian Menglembu di sini hari ini.
Menurut beliau, kegagalan mengosongkan tangki septik secara berjadual akan menyebabkan sistem rawatan air kumbahan tidak lagi berfungsi dengan sempurna.
Katanya, air kumbahan yang keluar daripada tangki berkenaan adalah air separa terawat yang berpotensi mencemarkan sungai selain menyebabkan kacau ganggu seperti bau busuk.
“Air kumbahan yang mengalir ke dalam longkang dan sungai akan mencemarkan sumber air selain berisiko menyebabkan penyakit bawaan air,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai Op Kejor, beliau berkata, operasi itu dilaksanakan selama tiga hari bermula hari ini sehingga 12 Jun depan melibatkan pemeriksaan terhadap 315 premis di sekitar Kawasan Perindustrian Menglembu dan Chandan.
Katanya, operasi tersebut merupakan yang keempat dilaksanakan SPAN dan IWK selepas Op Kasturi di Melaka dan Op Mutiara dan Op Haruman masing-masing di Pulau Pinang dan Perlis.
“Bagi Op Kejor, kita mengeluarkan notis terlebih dahulu kepada pemilik premis. Selepas dua minggu jika tiada sebarang maklum balas, kita akan keluarkan notis keterangan atau notis arahan daripada SPAN untuk melaksanakan pengosongan secara paksa.
“Ketika ini kita masih memberi ruang secara sukarela. Dalam tempoh dua minggu ini mereka masih mempunyai peluang untuk mematuhi arahan. Jika selepas tempoh itu masih gagal, kita akan mengambil tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN










