KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membincangkan pendirian Malaysia mengenai kerajaan baharu Taliban di Afghanistan dalam mesyuarat Kabinet yang dijadualkan pada Jumaat ini.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau akan mendapatkan pelbagai pandangan daripada Jemaah Menteri sebelum membuat keputusan muktamad mengenai perkara itu.
Katanya lagi, pihaknya akan mendapatkan pandangan daripada rakan sejawat di Qatar, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan mendapatkan maklumat mengenai situasi di Afghanistan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan di negara bergolak berkenaan.
“Malaysia memantau perkembangan di Afghanistan melalui pelbagai kaedah dan mengumpulkan maklumat daripada pelbagai sumber, supaya Malaysia boleh membuat keputusan dengan tepat.
“Pertama, melalui wakil kita di New Delhi untuk melawat situasi semasa di Afghanistan. Kedua, ada wakil kita di Islamabad kerana Pakistan dan Afghanistan itu sama seperti India, iaitu bersempadan,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian semasa sidang media secara dalam talian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) di sini.
Taliban sebelum ini mengisytiharkan peperangan di Afghanistan sudah berakhir dan memaklumkan pentadbiran kerajaan baharu akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
Memetik jurucakapnya, Mohammad Naeem berkata, kumpulan itu memberi jaminan mereka dapat menyediakan keselamatan yang terbaik untuk rakyat dan misi diplomatik di negara itu.
Mengulas berkenaan kedudukan rakyat Malaysia di Afghanistan, Saifuddin mengesahkan terdapat dua warganegara Malaysia berada di negara itu yang bekerja dengan NGO kemanusiaan antarabangsa di Kabul berdasarkan maklumat diperoleh daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India.
Antara lain, katanya, duta Afghanistan ke Malaysia yang dilantik bawah pentadbiran terdahulu masih berada di Kuala Lumpur kerana belum dipanggil pulang oleh kerajaan Afghanistan.
“Malaysia juga tidak mengarahkan duta itu meninggalkan negara ini susulan situasi di Afghanistan kerana ia akan umpama Malaysia sudah membuat keputusan berhubung negara itu.
“Beliau pun belum tahu berhubung kedudukannya sama ada akan disambung atau tidak. Di Kabul juga belum menubuhkan kerajaan rasmi,” katanya. – UTUSAN










