PETALING JAYA: Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, beliau sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah setelah disahkan sebagai kontak rapat kepada individu positif Covid-19.
Menurut Ahli Parlimen Kota Bharu itu, ujian polymerase chain reaction (PCR) dilakukan pada 10 September lalu dan semalam adalah negatif, namun beliau masih perlu jalani kuarantin kendiri hingga 20 September sebagai mematuhi peraturan kesihatan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi individu berstatus kontak rapat.
“Berikutan itu, saya tidak dapat menghadiri Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang berlangsung semalam dan Sidang Dewan sepanjang minggu ini, serta menjalankan tugas rasmi yang berbentuk fizikal.
“Bagaimanapun saya masih boleh melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan secara hibrid. Segala kesulitan adalah amat dikesali,” katanya. – UTUSAN ONLINE